Apabila tarikh kejadian kiamat semakin hampir dengan manusia, tanda-tanda besarnya akan menonjol. Antaranya adalah seperti yang disabdakan oleh Nabi SAW yang bermaksud;
“(Kiamat) tidak akan tiba sebelum berlakunya sepuluh perkara: Asap, Dajal, haiwan(yang bercakap), terbitnya matahari dari Barat, turunnya Nabi Isa, Yakjuj dan Makjuj, bumi tenggelam di tiga tempat, terbitnya api dari Yaman...”(Riwayat Muslim).
Dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud;
“Al-Mahdi daripadaku dan beliau mempunyai dahi yang luas dan hidung yang mancung. Beliau akan mengembangkan keadilan dan kesaksamaan di dunia sebagaimana dunia dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan sebelumnya...”
Banyak tafsiran diberikan berhubung dengan hadith-hadith ini dan kebanyakan tafsiran menceritakan sesuatu yang pelik, yang tidak pernah dilihat dan luar biasa, sehingga umat Islam hari ini tidak menyedari kemungkinan besar kebanyakan daripada perkara yang disebutkan Nabi SAW ini sedang melanda umat pada hari ini. Sebagai contoh, apabila menceritakan berkenaan haiwan yang bercakap (dabbatul ard) sebahagian ulama mengatakan, haiwan ini akan keluar dengan membawa tongkat nabi Musa dan cincin nabi Sulaiman dan panjangnya adalah 160 ela. Apabila menceritakan berkenaan Dajal, sebahagian yang lain pula berpendapat, Dajal adalah suatu raksasa besar lagi hodoh yang akan mengelilingi dunia membawa syurga dan nerakanya. Dia mempunyai mulut yang besar dan kaki yang panjang sehingga mampu mengelilingi dunia dalam masa yang singkat.
Pandangan-pandangan ini perlu dikaji semula berpandukan dalil-dalil yang ada kerana kebanyakan hadith yang menceritakan berkenaan akhir zaman menggunakan bahasa simbolik. Justeru umat hari ini mungkin lebih mampu memahaminya secara yang lebih jelas berbanding mereka sebelum ini kerana umat Islam hari ini mungkin berada pada zaman pancaroba yang disebutkan itu.
UMAT HARI INI PADA ERA DAJAL?
Dajal adalah makhluk yang akan mendatangkan malapetaka yang dahsyat pada akhir zaman. Kita memfokuskan mengenai Dajal kerana Nabi SAW bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim;
“Antara kejadian Adam dan kejadian hari kiamat, tidak ada kejadian yang lebih dahsyat daripada Dajal.”
Kalimat Dajal berasal daripada kalimat dajala yang bermaksud ‘yang menutup’. Mengikut kamus Lisanul Arab, kalimat ini digunakan kerana Dajal adalah pendusta yang menutup kebenaran dengan kebatilan. Dia juga menutupi dunia dengan kesesatan bersama-sama dengan pengikutnya. Di samping itu Dajal akan mendatangkan huru-hara dan pancaroba yang dahsyat di muka bumi dan Nabi SAW menceritakan semua ini melalui hadith-hadith baginda.
1- Nabi SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Ahmad;
“Apabila Dajal datang, mata kanannya adalah buta dan mata kirinya akan bersinar seperti bintang.”Berhubung dengan mata Dajal, memandangkan Nabi SAW sering mengaitkan bahagian kanan dengan kebaikan, keadaan mata Dajal yang buta disebelah kanan menunjukkan dia tidak mementingkan aspek kerohanian sama sekali. Segala tindakannya adalah untuk kepentingan duniawi.
2- Nabi SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Ahmad;
“Di dahi Dajal akan tertulis kalimat kafir. Ia akan dapat dibaca oleh setiap Muslim sama ada buta huruf ataupun tidak.”Kalimat kafir ini bukanlah dalam bentuk tulisan sebaliknya cara hidup. Pada hari ini golongan kafir di Barat cuba menyesatkan manusia dengan agama dan falsafah hidup mereka yang kafir. Sebahagian manusia akan tertipu dengan mereka tetapi umat Islam yang benar-benar beriman akan mengenali kesesatan mereka berdasarkan kebenaran Al-Quran walaupun mereka daripada kalangan orang yang buta huruf.
3- Nabi SAW bersabda;
“Dan Dajal akan menyembuhkan orang buta, pesakit kusta dan menghidupkan orang yang mati” (Dalam Kanzul Ummal, jil. 7, hal. 2080).Teknologi perubatan Dajal akan menjadi begitu canggih sehingga mampu menyembuhkan penyakit yang selama ini tidak dapat disembuhkan. Lebih darpada itu pemindahan organ termasuk jantung juga berjaya dilakukan sehingga manusia yang sudah tiada harapan untuk hidup dapat terus hidup. Pada hari ini terdapat sebahagian pesakit yang mengalami koma dan boleh dianggap sudah mati tetapi dengan menggunakan alat sokongan hayat, mereka berjaya ‘dihidupkan’. Teknologi seperti ini telah diledakkan oleh Barat.
4- Nabi SAW bersabda;
“(Kelajuan perjalanan Dajal) adalah seperti awan yang dipukul angin.” (Riwayat Muslim dan Tirmizi).Dalam riwayat yang lain baginda bersabda;
“Dajal akan mengenderai keldai. Jarak antara kedua telinganya adalah tujuh puluh ela.” (Riwayat Baihaqi).Baginda juga bersabda;
“Dajal akan melompat antara langit dan bumi.” (Riwayat Abu Daud).Sistem pengangkutan yang wujud pada hari ini dengan kapal terbang dan jetnya menepati sabda-sabda baginda yang terdapat dalam hadith ini. Jet-jet pejuang Amerika dan sekutu-sekutunya di Barat telah mendatangkan malapetaka yang dahsyat kepada Iraq, Afghanistan dan negara-negara lain. Teknologi bidang ini dikuasai oleh Barat.
5- Nabi SAW bersabda;
“Dajal akan mengarahkan langit dan langit akan menurunkan hujan dan dia akan mengarahkan bumi dan bumi akan mengeluarkan tumbuh-tumbuhan.” (Riwayat Muslim dan Tirmizi).Teknologi yang wujud pada hari ini mampu ‘mencipta’ hujan. Daily Telegraph, London, bertarikh 20 Ogos 1969 melaporkan, kristal silver iodine digunakan di padang pasir supaya menurunkan hujan. Kistal yang sama juga pernah digunakan bagi meredakan kekuatan ribut taufan seperti yang dilakukan keatas taufan Hurrican Debris dan Hurricane Esther.
6- Nabi SAW bersabda;
“Dajal akan datang dari sebelah Timur. Tujuannya adalah menghancurkan Madinah...”(Riwayat Bukhari dan Muslim).Kawasan yang banyak menerima padah kesan daripada tindakan ganas golongan Barat adalah negara-negara Timur, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sebagai contoh, penjajahan yang berlaku selepas selesai perang dunia kedua kebanyakannya melibatkan negara-negara Timur. Negara-negara Arab di Timur Tengah terus diancam oleh anak emas Amerika, iaitu Israel. Rakyat palestin, hidup dalam penderitaan yang berterusan selepas penubuhan negara Israel pada tahun 1948. Israel tertegak dengan bantuan Britain dan sekutu-sekutunya di Barat. Afghanistan diserang oleh Amerika demikian juga Iraq. Negara-negara teluk yang kaya dengan minyak menjadi daya tarikan kepada kuasa-kuasa besar Barat. Akhirnya agama Islam menjadi sasaran serangan mereka.
7- Nabi SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Muslim;
“Tujuh puluh ribu golongan Yahudi dari Isfahan akan mengikut Dajal...”Golongan Yahudi akan menjadi tentera Dajal yang amat penting pada akhir zaman dan hal ini menjadi kenyataan pada hari ini. Golongan Yahudi berada di banyak tempat strategik di dunia di samping menjadi anak emas kepada Amerika. Perkembangan semasa menunjukkan kuasa besar Amerika berada di bawah telunjuk Israel. Bekas senator Amerika, J.William Fulbright pada tahun 1973 telah menegaskan, kongres Amerika sebenarnya dikawal oleh Israel. Presiden George Prescott Bush mengakui pada tahun 1991 bahawa atas desakan Israel, beliau terpaksa memberi bantuan bernilai $10 billion kepada negara itu. Fakta-fakta ini didedahkan oleh Andrew Hurley dalam bukunya yang bertajuk One Nation Under Israel.
8- Nabi SAW bersabda;
“Dajal akan melalui segolongan manusia dan menyeru mereka (supaya mengikutnya) tetapi mereka menolak seruannya. Selepas Dajal meninggalkan mereka, pada keesokan paginya, mereka mendapati segala harta benda yang mereka miliki luput daripada mereka...” (Riwayat Muslim dan Tirmizi).Dajal menuntut ketaatan mutlak kepadanya tanpa berbelah bagi. Dalam akhbar Philadelphie Inquirer bertarikh 13 September 2002, David Perlmutter dalam artikelnya Give War A Chance memberi amaran, mereka yang tidak mahu mengikut rentak Washington ‘perlu bersedia menerima padahnya dalam bentuk kemusnahan industri minyak, markas ketenteraan, serta pejabat-pejabat kerajaan... Akan berlaku kehancuran ke atas kerajaan dan sistem ekonomi negara itu selama satu generasi.’ Salah satu strategi utama Dajal bagi menekan musuh-musuhnya adalah dengan mengenakan sekatan ekonomi. Contoh yang paling baik adalah Iraq. Bekas Penolong Setiausaha Agung Bangsa Bangsa Bersatu, Denid Halliday berkata, sekatan ekonomi ke atas Iraq yang bermula pada tahun 1990 menyebabkan 5-6 ribu kanak-kanak dibawah umur lima tahun mati setiap bulan. Pada bulan April 1998, Unicef pula melaporkan lebih kurang 90,000 kanak-kanak di Iraq meninggal dunia setiap tahun sejak sekatan ekonomi dikenakan.
9- Nabi Saw bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim dan Tirmizi;
“Dajal akan melalui suatu kawasan dan berkata; “Keluarkan segala perbendaharaanmu dan segala perbendaharaan itu akan mengikut Dajal sebagaimana lebah mengikut ketuanya.”Sejarah menunjukkan selepas tamat perang dunia kedua, pihak penjajah telah mengambil banyak hasil bumi negara yang dijajah oleh mereka. Sebagai contoh, mengikut Enver Masud, penulis buku ‘War On Islam’, antara tahun 1891 sehingga 1991, Eropah telah mengeksploitasi getah asli serta gading yang terdapat di negara Congo dan proses itu menyebabkan lebih kurang 10 juta orang Afrika terkorban. Keghairahan Barat menguasai hasil bumi negara lain masih berterusan hinggalah pada zaman pasca kolonialisme ini. Antara perbendaharaan bumi yang amat berharga pada abad ke-20 adalah minyak. Justeru ia menjadi bahan buruan kuasa-kuasa besar Barat. Sebagai contoh, berhubung dengan serangan Amerika ke atas Afghanistan pada tahun 2002, Pepe Escobar dalam artikelnya yang bertajuk Pipelineistan, Part 1: The Rules Of The Game yang dimuatkan dalam Asia Times berkata; “Serangan melawan keganasan? Mungkin tidak. Sebenarnya tujuan utamanya adalah minyak.” Pada penghujung tahun 2002, Amerika bersiap sedia menyerang Iraq. Akhbar The Sidney Morning Herald bertarikh 31 Oktober 2002 melaporkan;
“Ketua Eksekutif British Petroleum, Lord Browne telah memberi amaran kepada Washington supaya tidak memonopoli minyak yang bakal dikuasainya selepas perang... Kenyataan Lord Browne ini menunjukkan isu yang paling penting bagi Amerika adalah menguasai minyak Iraq supaya diserahkan kepada syarikat ExxxonMobil...”Dalam The Dubya Report bertarikh 29 Oktober 2001, di bawah tajuk You’ve Got To Go Where the Oil Is, Dick Cheney sebagai pengerusi syarikat minyak Halliburton dilaporkan berkata pada tahun 1998;
“Anda perlu pergi menguasai tempat yang ada minyak.”Tidak lama selepas itu Dick Cheney menjadi Timbalan Presiden Amerika.
10- Nabi SAW bersabda;
“Sesungguhnya Dajal akan membawa air dan api. Apa yang dilihat manusia sebagai air, sebenarnya ia adalah api yang membakar. Apa yang dilihat sebagai api, sebenarnya itu adalah air yang sejuk lagi lazat...” (Riwayat Bukhari dan Muslim).Dajal sebagai pendusta akan memalsukan hakikat dan kebenaran sesuatu perkara bertujuan mengelirukan masyarakat di dunia. Pada akhir zaman, media massa dalam bentuk TV, akhbar, majalah, video, cakera padat dan internet akan menjadi alat penting demi mencapai tujuan ini sehingga, secara simbolik, api yang panas lagi berbahaya akan kelihatan seperti air yang sejuk dan begitulah sebaliknya. Sebagai contoh, apabila berlaku tragedi 11 September 2001, media massa di Barat menonjolkan Islam sebagai agama keganasan walaupun tidak terdapat sebarang bukti yang menyokong pandangan itu. Golongan Yahudi memanfaatkan suasana itu, justeru rakyat Palestin yang selama ini ditindas dan dizalimi berjaya ditonjolkan sebagai pengganas dan sebaliknya pengganas rejim Yahudi ditonjolkan sebagai mangsa keganasan. Berhubung dengan isu ini wartawan akhbar Independant, London yang terkenal, Robert Fisk ketika menyampaikan ucapannya di Universiti Concordia pada 17 November 2002 berkata;
“Ucapan saya pada malam ini tidak berkaitan dengan bahaya kewartawanan sebaliknya saya ingin bercakap berkenaan bahaya yang diwujudkan oleh kewartawanan. (Bahaya ini lahir) hasil daripada tindakan melaporkan kenyataan-kenyataan rasmi pihak kerajaan yang mengelirukan tanpa tapisan di samping menerima tanpa persoalan kehendak golongan atasan... Sejak dari awal lagi melalui tulisan-tulisan saya dalam akhbar Independant, saya mengatakan peperangan yang berlaku sekarang bukan bertujuan menghapuskan keganasan sebaliknya menghancurkan musuh-musuh Amerika dan mungkin juga musuh-musuh Israel.”
11- Nabi SAW bersabda;
“Dajal akan membawa sesuatu seumpama syurga dan neraka. Syurga Dajal adalah neraka dan aku mengingatkan mengenainya sebagaimana nabi Noh mengingatkan kaumnya mengenainya” (Riwayat Bukhari dan Muslim).Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda;
“Demi Allah, seorang lelaki akan mendatangi Dajal dengan sangkaan bahawa dia (Dajal) seorang yang beriman. Kemudian lelaki itu akan mengikut Dajal kesan daripada keraguan yang ditimbulkan oleh Dajal” (Riwayat Abu Daud).Perkataan syurga dan neraka biasanya dikaitkan dengan agama Islam, Kristian dan Yahudi ketika memperkatakan mengenai hari pembalasan. Hadith ini menunjukkan Dajal akan menggunakan isu syurga dan neraka serta agama bagi mengembangkan pengaruh sesatnya. Dengan berkembangnya pengaruh kristianisasi pada hari ini, hadith ini menjadi kenyataan. Golongan Kristian pada hari ini sedang menumpukan dakwah mereka di negara-negara yang berada di kawasan yang mereka istilahkan sebagai Tingkap 10/40. Tingkap 10/40 adalah negara-negara yang terletak antara 10 ke 40 darjah di sebelah utara khatulistiwa dan ia merangkumi negara-negara Afrika Utara, Timur Tengah, India, China dan Asia Tenggara. Penggerak-penggerak projek ini berpendapat, daripada enam bilion manusia yang terdapat di dunia pada hari ini, dua bilion sudah menganut agama Kristian, dua bilion yang lain berada di kawasan yang mudah didekati dan baki dua bilion berada di kawasan yang terpencil. 90% daripada golongan yang terpencil ini berada di kawasan Tingkap 10/40, justeru mereka menjadikan kawasan ini sebagai sasaran mereka. Antara pendekatan yang mereka gunakan adalah menimbulkan kekeliruan mengenai kebenaran agama Islam sedangkan agama mereka sendiri dipenuhi dengan seribu satu kekeliruan. Kesungguhan golongan Kristian menghancurkan Islam menjadi semakin ketara dengan pelancaran satu lagi projek yang dikenali sebagai The Stealth Crusade. Projek ini dilancarkan dengan tujuan menarik masyarakat Islam kepada Kristian dan sekali gus menghancurkan agama Islam. Perkara ini disebutkan dalam laporan yang dimuatkan dalam MotherJones.com bagi bulan Mei/Jun 2002;
“Di bawah projek Stealth Crusade, pendakwah-pendakwah Kristian dilatih cara bergerak dalam dunia Islam untuk mengkristiankan golongan Islam. Matlamat mereka: Memusnahkan Islam.”
12- Nabi SAW bersabda;
“Ujian Dajal yang paling hebat adalah apabila dia mendatangi seorang Arab dan berkata; “Jika aku dapat menghidupkan untamu adakah kamu akan mempercayai aku tuhanmu?” Lelaki itu menjawab; “Ya”... Seorang lelaki yang kematian abang dan bapa akan ditemui Dajal dan dia akan berkata; “Jika aku dapat hidupkan bapa dan abangmu adakah kamu akan mempercayai aku tuhanmu?” Lelaki itu menjawab; “Ya”. Maka syaitan akan mencipta sesuatu yang menyerupai bapa dan abangnya” (Dalam himpunan hadith Misykatul Masabih jil. 4 hal. 70).Sains akan mempengaruhi cara berfikir dan bertindak manusia pada akhir zaman. Malah bagi sesetengah golongan, sains adalah agama. Perkembangan sains akan menjadi begitu pesat sehingga binatang dan manusia akan dapat diklon dan umat manusia sedang berada di era itu sekarang. Pada tahun 1997, dunia digemparkan dengan kelahiran kambing biri-biri klon yang bernama Dolly. Bagaimana pula dengan klon manusia? Profesor Lee M. Silver, seorang pakar dalam bidang Biologi Molekular di Princeton menulis sebuah buku yang bertajuk Remaking Eden: How Genetic Engineering and Cloning Will Transform The American pada tahun 1997. Beliau berpendapat berkemungkinan pada tahun 2050 manusia akan dapat melahirkan klonnya sendiri. Pandangan seperti ini ada penyokong-penyokongnya. Akhbar The San Diego Union-Tribune bertarikh 29 November 2001 melaporkan, sebuah syarikat bio-teknologi di Massachusetts berjaya melahirkan klon embrio manusia dan kejayaan ini mengejutkan pakar-pakar sains di seluruh dunia kerana ia membawa petanda dunia ini sedang berada di ambang huru-hara yang lebih dahsyat.
Akhbar Sunday Star bertarikh 29 Disember 2002 di halaman 54, memuatkan sebuah artikel yang bertajuk ‘Human Clone Race Stirs Fear’. Artikel ini memuatkan kenyataan yang dibuat oleh Dr. Brigitte Boisselier, pengarah syarikat Clonaid, yang mendakwa berjaya mengklon seorang bayi perempuan hasil DNA yang diambil daripada seorang wanita Amerika yang berumur 31 tahun. Akhbar yang sama melaporkan, sebulan yang lepas seorang pakar dalam bidang kesuburan manusia yang berasal dari Itali, Severino Antinori memaklumkan, seorang wanita yang dirahsiakan identitinya sedang mengandung seorang bayi klon dijangka bersalin pada bulan Januari, 2003.
13- Nabi SAW bertanya kepada al-Mughirah bin Syukbah;
“Apa yang membimbangkan kamu?” Berkata al-Mughirah; “Aku diberitahu bahawa Dajal akan membawa segunung roti dan sungai yang dipenuhi air.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).Roti dan air melambangkan kekayaan dan kemewahan dan kedua-dua ini dimiliki oleh Dajal pada akhir zaman. Mengikut Human Development Report 1998, rakyat Eropah membelanjakan $11 bilion dolar Amerika untuk membeli aiskrim, $17 bilion untuk membeli makanan binatang peliharaan seperti anjing, $50 bilion untuk rokok dan $105 bilion untuk arak. Rakyat Amerika pula membelanjakan $8 bilion untuk membeli alat-alat kosmetik. Bagi membantu negara-negara miskin, Barat mewujudkan beberapa institusi pada peringkat antarabangsa sebagai contoh, International Monetary Fund (IMF) dan Bank Dunia. Walau bagaimanapun bantuan yang mereka hulurkan sebenarnya bersyarat dan mempunyai agendanya yang tersendiri. Mengikut Michael Albert, dalam artikelnya yang bertajuk A Q&A On The WTO, IMF, World Bank, And Activism,
“Institusi-institusi ini diwujudkan oleh golongan kapitalis yang mementingkan keuntungan. Demi mengembangkan agenda mereka, WTO (World Trade Organization), IMF dan Bank Dunia pun ditubuhkan. Melalui institusi-institusi ini mereka dapat:
- Memonopoli ekonomi dunia tanpa halangan
- Meningkatkan keuntungan antarabangsa tanpa halangan.”
14- Nabi SAW bersabda;
“Golongan terakhir yang akan mengikut Dajal adalah kaum wanita dan anak-anak luar nikah” (Dalam Kanzul Ummal jil.7, hal. 2116, 2998).Pada akhir zaman wanita akan menjadi bebas dan pergaulan bebas akan menjadi-jadi dan hasilnya kelahiran anak-anak luar nikah. Dalam majalah Women’s Own yang diterbitkan di London pada 15 Disember 1962 di halaman 18 disebutkan;
“(Pengharaman zina oleh Bible) sebenarnya tidak dipedulikan oleh masyarakat pada hari ini dan langit tidak runtuh kerananya. Mereka yang mendapat tahu atau diberitahu mengenai suatu perlakuan zina biasanya tidak terkejut dengannya. Pendekatan yang dipegang pada zaman moden ini adalah, tidak wajar bagi manusia mempunyai seorang sahaja pasangan hidup untuk selama-lamanya.”Budaya seks bebas merosakkan sistem sosial masyarakat. Mengikut The Times London, bertarikh 29 Disember 1962, bagi setiap lapan orang bayi yang dilahirkan, seorang adalah anak luar nikah. Mengikut laporan Biro Bancian Amerika 1994 (US Cencus Bureau), bagi setiap lima orang wanita yang belum berkahwin, seorang akan melahirkan anak luar nikah. Ini bermakna 7% daripada remaja dan 40% daripada golongan wanita di tahap umur 30-an melahirkan anak luar nikah di Amerika. Kes-kes jenayah yang dilakukan oleh kaum wanita juga semakin meningkat. Mengikut Daily Telegraph London, bertarikh 16 September 1971, peningkatan kes jenayah ini ada perkaitannya dengan penyalahgunaan dadah dan perubahan peranan kaum wanita pada hari ini. Negara Malaysia juga tidak terlepas daripada wabak sosial ini. Satu kajian yang dilakukan pada tahun 1994 oleh Kementerian Belia dan Sukan, melibatkan 5860 remaja dalam lingkungan umur 13-21 tahun mendapati, 28% daripada mereka terlibat dengan seks bebas dan 40% sering melihat video lucah. Berpandukan hadith-hadith ini, manifestasi Dajal tertonjol dalam tiga bentuk: sistem, kelompok manusia dan individu. Sistem Dajal yang wujud sekarang adalah berasaskan nilai yang salah. Nilai yang selama ini terpisah daripada petunjuk agama melahirkan sistem Sekularisme dan Liberalisme di sudut cara hidup, sistem Kapitalisme berasaskan monopoli di sudut ekonomi dan sistem Demokrasi putar belit di sudut politik.
Berhubung dengan kelompok manusia, Dajal adalah suatu golongan manusia yang amat maju di sudut teknologi dan kemajuan ini menjadikan mereka kuasa besar yang ditakuti. Seperkara lagi yang begitu menonjol ialah, Nabi SAW sering menggunakan kalimat al-Masih ad-Dajal ketika menceritakan mengenai Dajal. Gelaran al-Masih sebenarnya pernah digunakan bagi insan selain daripada Dajal iaitu, nabi Isa. Justeru dapat dirumuskan, Dajal al-Masih pada akhir zaman ada perkaitannya dengan pengikut-pengikut nabi Isa al-Masih yang telah menukar ajaran baginda kepada konsep Trinity dan kesesatan lain yang tidak pernah diajar oleh baginda. Golongan Kristian secara umumnya berada di Barat dan dikenali sebagai ‘orang putih’. Pada hari ini negara-negara ‘orang putih’ adalah negara maju yang menguasai teknologi tinggi yang tidak ada tandingannya. Semua ini selari dengan sabda-sabda Nabi SAW berhubung dengan Dajal. Lebih daripada itu, Nabi SAW menyuruh umat Islam membaca sepuluh ayat yang pertama daripada surah al-Kahfi ketika berada pada era Dajal dan ayat keempat daripada surah itu menyentuh mengenai golongan Kristian. Allah berfirman;
“(Dan al-Quran diturunkan) bagi mengingatkan mereka yang berkata; “Allah mengambil seorang anak.”
Walau bagaimanapun, tidak semua ‘orang putih’ yang beragama Kristian bersikap zalim dan kejam ke atas orang lain. Sebahagian daripada mereka adalah orang-orang yang tinggi akhlaknya malah kadangkala mereka sanggup menegur perbuatan dan tindak-tanduk rakan-rakan mereka yang zalim. Namun mereka tidak mempunyai kuasa dan pengaruh sedangkan rakan-rakan mereka yang zalim mempunyai kuasa dan pengaruh. Melalui kuasa dan pengaruh inilah mereka melakukan pelbagai kerosakan di muka bumi ini.
2 comments:
Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kita perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu
Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kita perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu
Post a Comment