Kefahaman
yang mendalam mengenai al-Quran mampu mengubah manusia serta tamadun. Allah
berfirman:
“Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-ganang dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara, maka bacaan itu ialah (al-Quran)." (Surah ar-Ra’d ayat 31).
Jika ada
suatu perkataan yang boleh digunakan untuk menceritakan kekuatan ledakan iman
apabila ia benar-benar bersinar di hati manusia, perkataan itu adalah ‘nuklear'.
Ya, ledakan iman adalah persis ledakan nuklear kerana kedua-duanya menghasilkan
perubahan yang mengejutkan. Yang membezakan antara kedua-duanya adalah bentuk
perubahan yang berlaku: letupan nuklear menghancurkan sebaliknya ledakan iman
menghidupkan. A.M. Lothrop Stoddard dalam bukunya The New World of Islam yang
diterbitkan di London pada tahun 1932 berkata;
“Kebangkitan Islam adalah kejadian yang paling menakjubkan yang pernah berlaku dalam sejarah kehidupan manusia. Bermula di kawasan yang terpencil, oleh manusia yang tidak dikenali, Islam berkembang dengan pesatnya sehingga dalam masa satu abad, ia sudah menguasai setengah dunia... Kemunculan Islam melahirkan dunia yang baru, iaitu dunia Islam."
Lamartine
dalam bukunya bertajuk Histoire de la Turquie yang diterbitkan di Paris pada
tahun 1854 berkata;
“Tidak pernah wujud manusia yang berjaya melancarkan suatu revolusi yang begitu besar lagi berpanjangan (seperti yang dilakukan oleh nabi Muhammad dan sahabat-sahabat baginda). Dalam masa tidak sampai dua abad selepas kemunculannya, dengan nama Tuhan, Islam menguasai di sudut keyakinan dan persenjataan di seluruh negara Arab, Parsi, Khurasan, Transoxania, India Barat, Syria, Mesir, Habsyah, Afrika Utara, kepulauan Mediterranean dan Sepanyol."
As-Syeikh
Abu Hasan an-Nadwi dalam buku beliau bertajuk Kerugian Dunia Kerana Kemunduran
Umat Islam yang diterbitkan oleh Pustaka Bina Ilmu Indonesia, pada sekitar
tahun 1951 berkata;
“Perubahan yang ditimbulkan oleh Rasulullah SAW dalam jiwa para sahabat, serta perubahan selanjutnya yang diledakkan oleh sahabat-sahabat baginda dalam masyarakat, adalah perkara yang paling mengejutkan yang pernah berlaku dalam sejarah manusia... Bangsa Arab terutamanya yang sudah memeluk Islam, berpindah daripada pengertian kabur dan dangkal mengenai agama kepada pengertian yang jelas dan mendalam mengenainya. Pengetahuan tersebut besar sekali pengaruhnya terhadap jiwa, perasaan, hati serta anggota tubuh mereka. Ia tidak hanya memberi kesan dalam konteks mental dan perangai, lebih daripada itu, ia mempengaruhi seluruh kehidupan sosial secara sepenuhnya. Mereka yang masuk Islam percaya sepenuhnya kepada Allah, Tuhan semesta alam yang menguasai segala-galanya... Dengan keimanan sedemikian mereka berubah secara total. Iman mereka yang meresap masuk ke dalam hati dan seluruh anggota badan, hingga ke urat saraf dan darah yang mengalir, menyinari akal dan hati sehingga mampu menghancurkan segala penyakit jahiliah yang selama ini menguasai diri mereka. Ketika itu lahirlah peribadi baru yang mulia akhlak serta keribadiannya, di samping unggul kelakuannya. Perubahan ini memang menakjubkan... "
SENTUHAN
IMAN... MINTA DIHUKUM
Pada hari
ini, ramai anggota polis diperlukan supaya mencari dan mengejar penjenayah.
Penjenayah pula semakin bijak melepaskan diri daripada kesalahan dan hukuman.
Pada zaman Nabi SAW, iman melahirkan manusia yang berbeza. Mereka
bertanggungjawab dengan kesalahan yang mereka lakukan dan sedia dihukum.
Abdullah bin Buraidah meriwayatkan daripada ayahnya;
“Maiz bin Malik pernah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata; “Ya Rasulullah, aku telah berzina dan aku mohon dibersihkan diriu ini daripada dosa ini". Rasulullah menyuruh Maiz beredar. Pada keesokan harinya, Maiz datang semula dan berkata; “Ya Rasulullah aku telah berzina. Tolong bersihkan aku daripada dosa ini". Sekali lagi baginda menyuruh Maiz beredar. Selepas itu baginda bertanya kepada mereka yang mengenali Maiz; “Adakah Maiz dikenali sebagai seorang yang rosak akalnya?" Mereka menjawab; “Pada pengetahuan kami, Maiz adalah seorang yang mempunyai akal yang waras lagi soleh". Pada keesokan harinya Maiz datang bagi kali yang ketiganyadan sekali lagi baginda bertanya kepada masyarakat mengenai diri beliau. Mereka menjawab Maiz adalah seorang yang waras akalnya lagi soleh. Ketika Maiz datang kepada Rasulullah bagi kali yang keempat, Nabi SAW mengarahkan para sahabat melaksanakan hukuman ke atas beliau". (Riwayat Muslim).
Sikap yang
sama juga ditunjukkan oleh seorang wanita daripada suku Ghamidi yang melakukan
zina pada zaman Rasulullah.
SENTUHAN
IMAN... TIDAK TERGIUR DENGAN DUNIA
Iman yang
mendalam melahirkan kejujuran dan keikhlasan dalam diri seorang. Ketika itu
dunia dan kemewahan bukan lagi menjadi daya tarikan dan keutamaan. Yang menjadi
tarikan dan keutamaan adalah keredhaan Ilahi. Dalam Tarikh at-Tabari jilid 4
halaman 16, diceritakan;
“Ketika umat Islam berjaya menakluki ibu kota Empayar Parsi, Madain, tiba-tiba datang seorang lelaki Muslim membawa sebuah kotak supaya diberikan kepada pemiliknya daripada bangsa Parsi yang bukan Islam. Selepas diserahkan kotak itu kepada pemiliknya, orang-orang Parsi berasa begitu pelik dengan perangai lelaki ini. Mereka berkata sesama sendiri; “Kita belum pernah bertemu manusia yang bersikap seperti ini“. Mereka pun terus bertanya kepada lelaki Muslim itu; “Adakah sesuatu yang kamu ambil daripada isinya?“ Lelaki Muslim itu menjawab; “Demi Allah, jika tidak kerana takut kepada Allah aku pasti tidak akan membawa kotak ini ke mari“. Dengan jawapan itu golongan Parsi menyedari lelaki itu bukanlah sembarangan orang. Mereka terus bertanya; “Siapakah kamu?“ Lelaki itu menjawab; “Aku tidak perlu memberitahu namaku yang sebenarnya kerana ia akan menyebabkan manusia memujiku. Cukuplah bagiku pujian dan pahala daripada Allah“. Mereka terus bertanya hal ehwal lelaki ini kepada orang lain dan akhirnya mereka diberitahu bahawa beliau adalah Amir bin Abdul Qais.“
SENTUHAN
IMAN... MEMANDANG MUDAH KEPADA MAUT
Cintakan
dunia dan takutkan mati mencengkam ramai manusia pada hari ini. Kematian adalah
suatu yang dibenci kerana ia memisahkan manusia daripada kesenangan dan
keseronokan duniawi. Namun pada zaman Rasulullah SAW perkara yang sebaliknya
berlaku. Sahabat-sahabat baginda tidak gentar sedikit pun menghadapi maut demi
menegakkan kalimah Allah. Mereka berlumba-lumba mati syahid kerana balasan yang
dijanjikan Allah untuk para syuhada tidak ada tolok bandingannya. Bukhari dan
Muslim meriwayatkan;
“Pada Perang Uhud ketika umat Islam kucar-kacir, Anas bin Nadar mara ke hadapan dan ketika itu beliau bertemu dengan Saad bin Muaz. Beliau berkata; “Wahai Saad bin Muaz, aku tercium bau syurga dari Bukit Uhud“. (Anas bin Nadhar akhirnya mati syahid di Uhud). Anas bin Malik menceritakan; “Aku menemui lapan puluh lebih luka di badan Anas bin Nadhar disebabkan oleh tetakan pedang, tusukan tombak dan anak panah. Beliau telah dicincang oleh kafir Quraisy sehingga tidak ada seorang pun yang dapat mengenali jasad beliau kecuali saudara perempuannya yang mengenali hujung jarinya.“
SENTUHAN
IMAN... INGIN MENYUMBANG UNTUK ISLAM
Allah tidak
menjadikan manusia dengan sia-sia. Penciptaan manusia mempunyai tujuan dan
matlamatnya, iaitu, mengabdikan diri kepada Allah. Iman di hati menyedarkan
manusia matlamat ini justeru menjadikan mereka golongan yang mempunyai misi.
Dalam Zaadul Maad jilid 3 di halaman 135, diriwayatkan;
“Amru bin Jamuh adalah seorang lelaki yang tempang. Beliau mempunyai empat orang anak lelaki yang sentiasa bersama-sama Nabi dalam peperangan. Ketika Nabi sedang bersiap sedia berperang di Uhud, Amru juga bersiap sedia ke sana, namun beliau dihalang oleh anak-anaknya. Mereka berkata; “Allah memberikan kelonggaran kepada ayah daripada berperang. Seeloknya ayah berehat sahaja di rumah dan biarkan kami pergi berperang“. Amru bin Jamuh mengadu kepada baginda; “Ya Rasulullah, putera-puteraku melarang daripada berjihad bersamamu sedangkan aku berharap aku akan mati syahid supaya aku dapat memasuki syurga dengan kakiku yang tempang ini“. Nabi SAW bersabda; “Sesungguhnya Allah membebaskan kamu daripada jihad ini“. Nabi SAW kemudiannya berkata kepada anak-anak Amru bin Jamuh; “Sebaik-baiknya kamu biarkan saja bapamu keluar berjihad, semoga Allah memakbulkan hasratnya untuk mati syahid“. Amru bin Jamuh ikut berjihad di Uhud sehingga beliau terbunuh.“
SENTUHAN
IMAN... MAMPU MELAWAN GODAAN
Kecantikan
dan kekacakan sering menggoda manusia. Ramai yang tewas dengannya berselindung
disebalik cinta dan kasih sayang. Sebaliknya,
iman yang mantap di hati menjadikan manusia mencintai Allah mengatasi cinta
yang lain. Dalam Zaadul Maad jilid 2 di halaman 332 diriwayatkan;
“Fadhalah bin Umair berniat membunuh baginda dan ketika itu baginda sedang melaksanakan tawaf di Kaabah. Ketika beliau mendekati Rasulullah, Baginda menyoal Fadhalah; “Apakah yang tersembunyi di hatimu wahai Fadhalah?” Beliau menjawab; “Aku sedang berzikir ya Rasulullah”. Baginda tertawa dan terus meletakkan tangan baginda di atas dada Fadhalah dan berkata; “Mintalah keampunan daripada Allah”. Fadhalah berkata; “Demi Allah, selepas Nabi mengangkat tangan baginda aku berasa tidak ada manusia yang lebih aku cintai melainkan baginda. Ketika aku pulang ke rumah, aku bertemu dengan wanita yang pernah duduk berdua-duaan denganku sebelum ini. Dia mengajak aku kepadanya, namun aku berkata; “Allah dan Islam melarang kita melakukan perkara terkutuk ini.”
Inilah contoh golongan
yang hendak kita lahirkan pada hari ini. Harapan ini akan menjadi kenyataan
apabila kita bekerja keras mendidik umat Islam terutama daripada kalangan
generasi muda, bagi memahami, menjiwai dan menghayati Islam. Kejayaan sesuatu
tarbiah dan pendidikan banyak bergantung kepada kualiti pendidik, modul atau
minhaj yang digunakan, suasana dan persekitaran, serta sikap umat Islam sendiri.
Usaha-usaha ini mestilah berterusan dan tidak sekadar melepaskan batuk
ditangga. Setiap individu perlu mengetahui mesej Islam secara betul dan selepas
itu beramal serta berperanan di penjuru masing-masing. Kita tidak perlu menanti
kemunculan Imam Mahdi kerana berpandukan riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda;
WALLAHU A'LAM...
“Akan sentiasa ada satu golongan daripada umatku yang memperjuangkan kebenaran secara bersungguh-sungguh sehingga hari kiamat”.Ketika berjuang, aspek yang tidak boleh kita abaikan ialah tawakal dan pergantungan kepada Allah pada setiap ketika. Semoga Allah membantu kita…
WALLAHU A'LAM...
No comments:
Post a Comment