Formula
dakwah pada akhir zaman tidak boleh mengutamakan aspek ranting seperti
pemakaian serban dan janggut; tidak boleh bergelumang dalam debat membuang masa
membincangkan perkara ranting dan khilafah,
juga tidak boleh mengikut emosi sehingga bertindak melampaui batas ke atas
musuh-musuh Islam. Bagi menghadapi kemelut akhir zaman, umat Islam perlukan
persiapan diri yang kukuh lagi mantap terutamanya di sudut kefahaman dan
kerohanian. Berhubung dengan ini Nabi SAW bersabda seperti yang diriwayatkan
oleh Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan Tirmizi;
"Sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat yang terawal daripada surah al-Kahfi, dia akan terpelihara daripada Dajal“.
Dalam
sebuah riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh
Muslim, Tirmizi dan an-Nasai;
"Sesiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir daripada surah al-Kahfi, dia akan terselamat daripada fitnah Dajal.“
Menghafaz
dan membaca yang disebutkan dalam hadith-hadith ini perlu difahami seperti yang
difahami oleh sahabat-sahabat baginda, kerana mereka apabila menghafaz dan
membaca al-Quran mereka melakukannya dengan penuh kefahaman. Kefahaman yang
diperoleh daripada al-Quran akan mereka jadikan panduan dalam kehidupan demi
mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Apabila ayat-ayat daripada surah
al-Kahfi ini dikaji, beberapa formula penting akan menonjol sebagai panduan
untuk berjaya di akhir zaman. Antaranya :
1-
Al-Quran
bukan untuk dipegang sebaliknya menjadi pegangan. Pada ayat 1 dan 2 surah
al-Kahfi, Allah menjelaskan,
“Tidak terdapat dalam al-Quran sebarang bengkang bengkok dan ia adalah bimbingan yang terbaik yang mampu membawa manusia ke jalan yang lurus.“ Memandangkan pada akhir zaman, ideologi dan isme yang bengkang bengkok akan menguasai dunia, kefahaman mengenai al-Quran adalah amat penting kerana ia akan memampukan manusia membezakan antara yang hak dan batil.
2-
Berwaspada
dengan golongan yang ada mata tetapi buta. Agama Kristian banyak terbabas
daripada kebenaran asal yang dibawa oleh nabi Isa. Salah satu konsepnya yang
sesat adalah konsep Trinity. Walau bagaimanapun penggerak-penggerak operasi
tingkap 10/40 dan Stealth Crusade daripada kalangan Kristian begitu
bersungguh-sungguh mengkristiankan orang-orang Islam pada hari ini. Berhubung
dengan ini Allah menegaskan pada ayat 5,
"Jelik sekali perkataan yang keluar daripada mulut mereka dan mereka tidak mengatakan melainkan perkataan yang dusta.“Umat Islam perlu berwaspada dengan golongan ini.
3-
Ujian
yang dahsyat memerlukan benteng yang kukuh. Fitnah Dajal serta Yakjuj dan
Makjuj amat mencabar dan mereka yang tidak kental iman dan takwanya akan mudah
mengalah dan berputus asa. Allah mengingatkan kita mengenai hal ini dalam ayat
6,
“Mungkin kamu akan mengambil tindakan membunuh diri sendiri lantaran kesedihan di atas sikap-sikap mereka...“Kekuatan dalaman adalah penting ketika menghadapi pancaroba akhir zaman.
4-
Awasi
keseronokan sementara, tetapi sengsaranya selamanya. Hiburan dan keseronokan
yang melampau adalah salah satu hasil kemajuan pada akhir zaman. Dunia dan kesenangannya
adalah fitnah dan ujian bagi manusia. Jika ia diambil dengan sikap dan cara
yang betul, seperti yang dilakukan oleh nabi Sulaiman, ia akan menguntungkan
dunia dan akhirat seseorang. Sebaliknya apabila manusia sudi memperhambakan
diri kepadanya, kebinasaan akhirnya akan menimpa mereka. Di Amerika, mengikut
Adult Chamber of Commerce, kemasukan daripada industri seks melalui internet
sahaja berjumlah lebih $6 bilion. Pada ketika yang sama amalan seks rambang
menyebabkan lebih 13 juta manusia di Amerika menghidap penyakit jangkitan
seksual setahun dan kos merawat dan mencegahnya menjangkau $10 bilion. Dalam
ayat 7 Allah mengingatkan,
“Perhiasan dunia ini dijadikan Allah untuk menguji siapakah di antara manusia yang lebih baik amalannya. Akhirnya kesemua yang ada di atas muka bumi ini akan hancur seperti tanah yang diratakan".Umat Islam perlu mempunyai matlamat yang jelas supaya tidak terpedaya dengan keseronokan yang sementara.
5-
Memberikan
fokus kepada golongan muda. Dalam konteks ini, Ashabul Kahfi adalah contoh yang
terbaik. Jumlah Ashabul Kahfi tdaklah ramai (Abdullah ibn Abbas berpendapat,
berkemungkinan jumlah mereka hanya tujuh orang) tetapi mereka berani melawan
arus. Mereka adalah anak muda yang tegas berpegang kepada prinsip da kebenaran
walaupun ia berisiko tinggi. Pada akhir zaman, golongan yang akan berjaya
adalah mereka yang bersikap seperti Ashabul Kahfi ini. Allah bertanya dalam
ayat 9.
“Tidakkah kamu mengira Ashabul Kahfi dan batu bersurat adalah tanda-tanda kekuasaan Allah yang menakjubkan?“Propaganda media massa pada akhir zaman akan menjadi begitu dahsyat sehingga mengubah nilai hidup manusia: zina dihalalkan, artis-artis yang rendah moral menjadi ikutan, pergaulanbebas dianggap lambang kemajuan, pendedahan tubuh badan menjadi simbol kebebasan dan amanah menjadi bahan permainan. Rata-ratanya nilai hidup yang ditekankan pada hari ini adalah berasaskan ‘formula rugi‘ tetapi pakar-pakar menegaskan ia adalah ‘formula untung‘. Inilah yang sedang berlaku pada hari ini dan ayat 104 Allah berfirman,
“(Orang-orang yang paling rugi adalah) mereka yang sia-sia perbuatannya di dunia sedangkan mereka menyangka perbuatan mereka adalah yang terbaik“.Jiwa golongan muda perlu dihidupkan supaya mereka menjadi nadi kepada perubahan ke arah kebaikan.
6-
Mengocak
gelombang perubahan berasaskan kesedaran. Mereka yang bergelumang dalam
kesesatan adalah mereka yang tidak memahami kebenaran lantas tertutup mata hati
mereka. Selagi mana hal ini berlaku, perubahan ke arah kebaikan tidak akan
terlaksana. Perubahan perlu dilakukan berasaskan kefahaman dan kesedaran
seperti mana yang berlaku pada zaman Nabi SAW. Apabila kefahaman dan kesedaran
tumbuh di hati, manusia akan nampak tanda-tanda kebesaran Allah dengan jelas
dan terang dan hasilnya adalah perubahan yang akan terus berkembang hingga ke
generasi akan datang. Allah menjelaskan dalam ayat 101.
“(Golongan yang kafir adalah) mereka yang tertutup mata mereka daripada memperhatikan tanda-tanda kebesaran Allah dan mereka tidak mampu mendengar“.Umat Islam perlu melakukan perubahan dengan menggerakkan gelombang baru berdasarkan kebenaran Ilahi.
7-
Membina
minda baru, melonjakkan penyelidikan dan pembangunan. Tuhan yang menurunkan
Islam ialah Allah yang maha luas pengetahuan-Nya. Tuhan Yang Maha Mengetahui
tidak mungkin menurunkan Kitab serta agama yang sempit yang tidak mampu
berkembang. Sebenarnya dalam al-Quran dan as-Sunnah terdapat ayat-ayat yang
menjelaskan rahsia alam secara yang amat menakjubkan. Rahsia-rahsia ini adalah
kalimat-kalimat Allah, dan ia hanya akan dapat disingkap jika umat Islam rajin
melakukan penyelidikan dan kajian alam semesta. Dalam surah al-Kahfi Allah
menceritakan mengenai Zulqarnain yang rajin menyelidik dan mencari pendekatan
baru demi mencapai matlamat perjuangan beliau. Inilah yang perlu dilakukan pada
hari ini. Penemuan-penemuan sains yang terkini akan menampakkan keunggulan
al-Quran dan as-Sunnah dan ini akan menjadi modal penting ketika menggerakkan
dakwah pada akhir zaman. Allah berfirman dalam ayat 109,
“Katakanlah, apabila lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Allah, akan keringlah lautan sebelum selesai menulis kalimat-kalimat itu walaupun didatangkan air lautan sebanyak itu pula“.Umat Islam perlu rancakkan bidang kajian dan penyelidikan demi menggerakkan dakwah pada akhir zaman.
8-
Menggilap
iman dan amal. Kemuncak kepada kehidupan ini adalah memiliki iman yang
sejahtera serta amal yang berkualiti. Apabila kedua-duanya dapat dipelihara
dengan baik, manusia akan terselamat daripada pancaroba akhir zaman. Dalam ayat
107, Allah menegaskan,
“Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka syurga Firdaus sebagai tempat tinggal”.Dalam ayat 110, iaitu ayat penutup surah al-Kahfi, Allah berfirman,
“Sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia melakukan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Allah”.Sehubungan dengan ini, Nabi SAW bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim;
“Beribadah pada zaman huru-hara adalah seperti berhijrah kepadaku.”WALLAHU A'LAM...
No comments:
Post a Comment