Zikrullah

Subhanallah... Alhamdulillah... La ilaha illallah... Allahu akbar... La haula wala quwwata illa billahil a'liyila'zim...

Thursday, September 3, 2009

Siapakah Yakjuj dan Makjuj?


Dalam al-Quran kisah Yakjuj dan Makjuj diceritakan di dua tempat, iaitu dalam surah al-Kahfi dan al-Anbiya. Dalam surah al-Kahfi Allah berfirman;

“Mereka berkata; ‘Hai Zulqarnain sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj adalah golongan yang suka membuat kerosakan di muka bumi, maka bolehkah kami memberi suatu pembayaran kepadamu supaya kamu membuat dinding di antara kami dan mereka?’ Zulqarnain berkata; “Apa yang  dikuasakan Tuhanku kepadaku adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat) supaya aku membuatkan dinding diantara kamu dan mereka. Berilah aku potongan-potongan besi”. Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua puncak gunung itu berkatalah Zulqarnain: “Tiuplah api itu”. Hingga apabila besi itu sudah menjadi merah seperti api, dia pun berkata: “Berilah aku tembaga yang mendidih supaya aku tuangkan ke atas besi panas itu”. Maka mereka tidak boleh mendakinya dan mereka tidak boleh melubanginya. Zulqarnain berkata: “Dinding ini adalah rahmat daripada Tuhanku. Apbila sudah datang janji Tuhanku, Dia akan menjadikannya hancur luluh dan janji Tuhanku adalah benar” (Surah al-Kahfi ayat 94-98).
Dalam surah al-Anbiya pula Allah berfirman:  
“Hingga apabila dibukakan tembok Yakjuj dan Makjuj dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi” (Surah al-Anbiya ayat 96).
Yakjuj dan Makjuj tidak hanya wujud dan mendatangkan kerosakan pada zaman Zulqarnain, ia juga akan wujud serta mendatangkan kerosakan pada akhir zaman. Dalam hadith diriwayatkan;  
“Pada suatu hari Nabi bangun daripada tidur dalam keadaan merah padam wajah baginda dan bersabda; ‘Lailahaillallah. Kecelakaan bagi golongan Arab disebabkan kebinasaan yang hampir menimpa. Pada hari ini telah terbuka benteng Yakjuj dan Makjuj sebesar ini (dan Nabi pun membuat bulatan menggunakan ibu jari dan telunjuk baginda)”. Zainab binti Jahsy bertanya; “Apakah kita akan binasa sedangkan masih ramai di antara kita yang soleh?” Baginda bersabda: “Ya, apabila kekejian berleluasa” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadith ini mengaitkan era kemunculan Yakjuj dan Makjuj dengan suasana kucar-kacir dikalangan bangsa Arab. Pada hari ini kawasan Timur Tengah memang menjadi kawasan ‘panas’ yang sentiasa dipenuhi peperangan dan pancaroba. Isu rejim Yahudi mengganas ke atas rakyat Arab Palestin dan negara-negara Arab sejak tahun 1948, isu Iraq diserang Amerika dan sekutu-sekutunya, isu pemimpin-pemimpin Arab di kotak-katik oleh pemimpin-pemimpin barat dan seumpamanya menunjukkan sabda Rasulullah SAW telah menjadi kenyataan. Berhubung dengan kalimat ‘kekejian berleluasa’ dalam hadith ini, dalam kitab Tafsir al-Azhar , Hamka mengetengahkan pendapat Imam Qurtubi yang mentafsirkan kekejian ini sebagai ‘bertebarannya anak luar nikah‘. Dalam konteks ini hamka berpendapat, apabila kekejian dan keruntuhan akhlak melanda manusia, ‘benteng Yakjuj dan Makjuj’ akan runtuh dan ketika itu mereka akan keluar membinasakan manusia sejagat.
Apa yang dinyatakan oleh Hamka ini juga sebenarnya sedang berlaku di depan mata kita pada hari ini. Yang jelas, ketika Arab menghadapi pancaroba dan dunia menghadapi krisis moral yang dahsyat, ia adalah petanda era Yakjuj dan Makjuj sudah tiba. Siapakah sebenarnya Yakjuj dan Makjuj?
Ada segolongan umat Islam berpendapat Yakjuj dan Makjuj adalah golongan Tartar yang menyerang dan meruntuhkan kota Baghdad pada abad ke-13 Masihi. Namun Hamka kurang bersetuju dengan pendapat ini kerana belum pun sampai setengah abad selepas keruntuhan Baghdad, pimpinan-pimpinan Tartar seperti Aurangzib telak memeluk Islam serta menyebarkan kebenaran Islam di negara mereka.
Segolongan yang lain berpendapat, Yakjuj dan Makjuj adalah keturunan Khazar yang pada asalnya tinggal menetap dikawasan yang pada hari ini dikenali sebagai Turki dan Rusia Selatan. Raja mereka yang bernama Joseph terpaksa memeluk agama Yahudi pada abad ke-8 Masihi untuk menyelamatkan diri dan negaranya daripada serangan musuh ketika itu, justeru mereka boleh dianggap sebagai ‘golongan Yahudi yang bukan Yahudi’. Mengikut Ahmad Thomson dalam bukunya yang bertajuk Dajjal the Anti Christ terbitan Ta-Ha Publishers Limited London, pada tahun 1997, keturunan Khazar mahir dalam hal ehwal perniagaan dan kewangan dan mereka berada di tempat-tempat strategik di dunia pada hari ini. Dengan kedudukan dan kemahiran ini, mereka mampu mendatangkan kekucar-kaciran kepada manusia pada akhir zaman.
Mengikut Ali Akbar dalam bukunya Israel and The Prophecies of Holy Quran terbitan Seraj Publications, Cardiff pada tahun 1963, untuk mengenali latar belakang Yakjuj dan Makjuj, kita perlu mengetahui kedudukan Tembok Zulqarnain. Mengikut beliau, tembok ini terletak di sebelah selatan Laut Caspian. Panjangnya ialah 50 batu, ketinggiannya 29 kaki dan tebal temboknya 10 kaki. Pada pandangan beliau, gunung-ganang yang disebutkan dalam ayat Quran dalam surah al-Kahfi adalah gunung-ganang yang terdapat dikawasan Azerbaijan dan Armenia. Bangsa-bangsa yang tinggal di kawasan ini terutamanya daripada etnik Slavs dan Teutonic akhirnya melahirkan bangsa Eropah yang menguasai bumi pada hari ini. Ali Akbar cenderung mengatakan, Yakjuj adalah bangsa Eropah Timur yang merangkumi negara Rusia. Beliau memanfaatkan isyarat yang terdapat dalam Bible kerana ketika menjelaskan mengenai Yakjuj, Bible menyebutkan: 
“Tuhan Raha berfirman, ‘Hai manusia fana, kecamlah Gog, penguasa utama negeri-negeri Mersekh dan Tubal dan beritahulah dia bahawa Aku musuhnya...” (Yehezkiel 39 ayat 1).
Bagi Ali Akbar, Raha bermaksud Rusia, Mersekh bermaksud Moskow dan Tubal adalah Tobalsk. Berhubung dengan Makjuj, dalam bab Yehezkiel 39 ayat 7 disebutkan;  
“Aku akan menyalakan api di negeri Magog dan di sepanjang pantai tempat orang hidup dengan aman. Lalu semua orang akan tahu bahawa Akulah Tuhan...”
Bagi Ali Akbar, kawasan pantai yang dimaksudkan ini adalah kepulauan Britain dan negara-negara Scandivania, termasuk Perancis dan Jerman. Justeru, beliau merumuskan, Yakjuj dan Makjuj adalah Eropah Timur dan Barat yang begitu mencengkam umat Islam terutamanya pada abad ke-20, malah cengkaman ini masih berterusan hingga ke hari ini. Eropah Timur telah mempopularkan konsep ateisme dan komunisme manakala Eropah Barat pula konsep tritunggal serta liberalisme.
Eropah Timur khususnya Komunis Rusia mula berkembang selepas berlakunya Revolusi Bolshevik pada tahun 1917, dipimpin oleh Vladimir Ilyich Lenin. Beliau banyak terpengaruh dengan tulisan-tulisan Karl Marx dan Frederick Engels. Kesan daripada revolusi itu pada tahun 1922, tertegaklah kuasa komunis di Timur iaitu Soviet Rusia atau USSR. Apabila Lenin meninggal dunia pada tahun1924, Joseph Stalin mengambil alih kepimpinan di Soviet Rusia. Di zaman beliau 10-11 juta manusia mati sama ada kerana dibunuh ataupun diseksa. Mengikut Dr. Baymirza Huyit, seorang Muslim yang banyak mengkaji mengenai imperialisme Soviet Rusia, di penghujung tahun 1926 kesemua mahkamah syariah di Rusia diharamkan. Bermula dari tahun 1928, kesemua tokoh-tokoh Islam ditangkap. Pada tahun 1929, kempen menutup masjid-masjid di rusia dilancarkan. Dari tahun 1928-1935, lebih daripada 25,000 tokoh-tokoh Islam ditangkap, lebih daripada 10,000 masjid ditutup atau dirobohkan dan lebih daripada 14,000 sekolah agama ditutup. Dari tahun 1929-1936, polis Rusia merampas naskhah-naskhah al-Quran yang dimiliki oleh umat Islam untuk dibakar. Umat Islam juga dilarang melakukan ibadah haji bermula dari tahun 1918. Kesemua fakta-fakta ini didedahkan oleh Dr. Baymirza Huyit dalam majalah al-Ittihad di Kanada.
Berdepan dengan tafsiran yang pelbagai mengenai Yakjuj dan Makjuj, Hamka merumuskan dalam Tafsir al-Azhar karangan beliau;  
“Dapatlah disimpulkan, Yakjuj dan Makjuj adalah dua nama yang bersatu padu melaksanakan aktiviti kerosakan di muka bumi. Ia boleh diertikan sebagai isme dan ideologi sesat yang boleh membawa manusia kepada kebinasaan. Yakjuj dan Makjuj bergerak laksana air, ia akan terus mencari ruang untuk masuk walaupun ruang itu sebesar lubang jarum. Justeru benteng dalam bentuk pemikiran yang baik, cita-cita yang mulia serta ideologi yang sihat mesti sentiasa teguh dalam diri seseorang... Orang-orang Islam zaman sekarang terus berfikir dan pada hari ini terdapat satu tafsiran baru mengenai Yakjuj dan Makjuj. Kalimat Yakjuj dan Makjuj berasal daripada perkataan Arab 'ajja' dan 'taajjaja' yang bermaksud ‘menyala, membakar dan menggelegak’. Zaman sekarang, mengikut pendapat ini, adalah zaman Yakjuj dan Makjuj kerana kehidupan kita memerlukan api dan cahaya apatah lagi selepas meledaknya zaman industri. Akhirnya manusia berjaya mencipta senjata nuklear serta sinar radioaktif dan kesemua ini dapat membinasakan manusia dalam sekelip mata... Manusia akan terus berfikir dan mentafsirkan ayat mengikut suasana zaman mereka. Tafsiran-tafsiran ini dapat diterima dengan syarat ia tidak terbabas daripada maksud asal ayat al-Quran. Namun kesemua tafsiran ini adalah tafsiran manusia yang cuba memahami ayat-ayat Allah".
Apa yang ketara pada hari ini golongan yang menguasai teknologi yang canggih adalah golongan yang amat membenci Islam. Senjata-senjata ini akan terus digunakan bagi memusnahkan kehidupan manusia terutamanya umat Islam pada akhir zaman. Ia digunakan oleh Soviet Rusia, Amerika serta sekutu-sekutunya. Ia jua digunakan oleh rejim Yahudi Israel supaya membunuh umat Islam. Pada akhir zaman Yakjuj, Makjuj dan Dajal akan sama-sama bergerak dan beroperasi menguasai dunia dengan menggunakan taktik dan strategi sesat yang membinasakan. Justeru Yakjuj dan Makjuj tidak banyak berbeza dengan al-Masih Dajal. Jika adapun perbezaan antara mereka ia hanyalah dalam aspek cara bergerak dan beroperasi. Dajal akan banyak memberikan fokus dalam aspek idea, isme, falsafah baru serta agama dan Yakjuj dan Makjuj dalam aspek teknologi canggih.
WALLAHU A'LAM...



No comments: