Zikrullah

Subhanallah... Alhamdulillah... La ilaha illallah... Allahu akbar... La haula wala quwwata illa billahil a'liyila'zim...

Tuesday, September 1, 2009

Persoalan Tentang Mazhab


Ramai yang agak keliru dengan fahaman mazhab. Ada juga yang menganggap bahawa mazhab merupakan faktor kepada perpecahan umat Islam. Ada juga yang beranggapan bahawa pegangan mazhab adalah salah dan sesat kerana tidak berpegang dengan Quran dan sunnah. Namun ada juga yang memandang serong kepada golongan yang tidak bermazhab...

Apakah sebenarnya mazhab? Dalam pengertian umum, mazhab bermakna pendapat, fatwa, cara pengambilan hukum dan yang seumpamanya. Apabila disebut mazhab Maliki, ia bermakna Imam Malik, fatwanya, cara pengambilan hukumnya dan sebagainya.
Apakah apabila bermazhab Syafii bermakna kita tidak mengikut Quran dan sunnah? Apakah umat Islam yang bermazhab Hanbali tidak mengikut Quran dan sunnah? Jika benarlah tuduhan begini, ia satu tuduhan yang tidak berasaskan ilmu dan keinsafan.
Bermazhab bermakna mengikut Quran dan sunnah berdasarkan kefahaman seorang ulama muktabar. Umat Islam yang bermazhab Syafii bermakna mengikut Quran dan sunnah sebagaimana yang difahami oleh Imam Syafii. Sebagai manusia, sudah tentu Imam Syafii bukanlah seorang yang maksum (terpelihara daripada dosa dan kesilapan). Mungkin ada pendapat, kefahaman, fatwa dan huraian Imam Syafii terhadap Quran dan sunnah kurang sesuai untuk diamalkan.
Oleh itu, sebagai umat yang sedar akan hakikat ini, kita sepatutnya meninggalkan pendapat Imam Syafii yang mungkin kurang sesuai untuk diamalkan kepada pendapat yang lebih sesuai.
Sebagai contoh, dalam masalah pembayaran zakat fitrah, nampaknya Imam Syafii r.a. tidak mengharuskan penggunaan wang sebaliknya menekankan soal makanan asasi. Namun pendapat ini mungkin kurang sesuai diamalkan maka umat Islam telah berpindah kepada pendapat Imam Hanafi r.a.
SEMUA MAZHAB YANG EMPAT MENGIKUT QURAN DAN SUNNAH. Ini satu perkara yang tidak boleh dinafikan. Sumber-sumber pengambilan hukum setiap mazhab meletakkan Quran diikuti sunnah sebagai sumber tertinggi
Secara ringkas, kesemuanya bersandarkan Quran dan sunnah. Oleh itu, kembali kepada persoalan, kenapa bermazhab jika mengikut Quran dan sunnah?
Secara logik, ia boleh diibaratkan sebagai mengakui dan mengikuti kepakaran seseorang. Sudah tentu tidak ada seorang manusia pun yang mampu menguasai semua ilimu pengetahuan. Jika sakit, kita akan berjumpa doktor. Apa sahaja ubat yang diberikan oleh doktor, biasanya kita akan terima dan mengambilnya. Bahkan di kalangan doktor perubatan, terdapat pula doktor pakar dan pakar perunding. Apakah perlu kita mempersoalkan ubat yang diberikan?
Adakah wajar manusia yang tidak mempelajari ilmu perubatan mempersoalkan cadangan doktor pakar jantung dan  umpamanya atau mencadangkan kaedah pembedahan? Jika kereta yang rosak, kita akan menghantarnya kepada mekanik. Biasanya apa sahaja yang diperbaiki oleh mekanik, kita akan akur.
Begitulah mazhab di mana tidak semua orang mampu menganalisa setiap ayat Quran dan hadith. Oleh itu, kita mengakui dan mengikut kepakaran seseorang sarjana Islam yang telah menghabiskan masa, umur dan tenaga mengkaji hukum Islam.
Sebenarnya tidak salah untuk bermazhab khususnya mazhab yang muktabar dan terpelihara. Antaranya mazhab yang empat dalam ahli sunnah iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafii dan Hanbali. Keempat-empat mazhab ini mempunyai pengikut yang ramai dan ulama muktabar selepas mereka. Ulama-ulama ini bertanggungjawab menyusun dan menapis setiap pendapat dengan dalil dan hujah.
Namun ada satu penyakit dalam masalah mazhab iaitu fanatik kepada mazhab. Fanatik ini disebut sebagai taasub. Fanatik akan menyebabkan banyak masalah dan musibah. Oleh itu, kemungkinan besar antara punca perpecahan umat Islam ialah fanatik mazhab bukan bermazhab.
Sekadar bermazhab tanpa fanatik merupakan satu rahmat kepada umat Islam. Manakala fanatik mazhab akan melahirkan perasaan bahawa mazhab anutannya sahaja yang betul, manakala mazhab lain adalah salah. Fanatik mazhab akan mengakibatkan orang tidak mahu bersolat dengan imam yang berlainan mazhab. Fanatik mazhab akan menjadikan perkahwinan antara orang berbeza mazhab tidak sah. Akhirnya umat Islam hidup dalam perpecahan.
Bagi mengatasi masalah fanatik mazhab, maka menjadi kewajipan untuk umat Islam menyedari hakikat bahawa semua mazhab muktabar mengikut Quran dan sunnah. Oleh itu, adalah baik jika pengajian bermazhab dipermudahkan.
Permasalahan wuduk yang mudah dan senang janganlah dipayahkan. Ia juga memerlukan penggunaan dalil agar umat Islam lebih terbiasa dengan Quran dan sunnah. Pendidikan perlulah ada langkah demi langkah untuk memahamkan kita dengan Quran dan sunnah. Jika ketika kecil, kita diajar cara berwuduk tanpa mengetahui dalilnya. Alangkah indahnya jika kita semakin pandai membaca, maka kita cuba lagi menggali sedikit demi sedikit lautan mutiara ilmu dalam Quran dan sunnah. Bukan sekadar tahu dalilnya sahaja, tetapi dapat menyelami hikmah dan faedahnya. Semua ini akan mengukuhkan keyakinan kita terhadap ajaran Allah s.w.t.
Umat Islam juga hendaklah meletakkan Quran dan sunnah Nabi SAW sebagai sumber tertinggi dalam Islam. Sebagaimana dimaklumi, mazhab adalah tafsiran terhadap kedua-duanya.
Ada kemungkinan pandangan mazhab kurang sesuai diamalkan. Maka lihatlah mazhab lain yang tafsirannya lebih sesuai. Tanpa penyakit fanatik atau taasub mazhab, maka akan mudahlah untuk kita mengikut pandangan yang lebih hampir dengan Quran dan sunnah
WALLAHU A'LAM...

No comments: