Tarikh berlakunya hari kiamat tidak diketahui oleh sesiapa pun, namun nabi SAW sudah memberitahu kita tanda-tandanya secara jelas. kebanyakan tanda-tanda itu sudah pun berlaku dalam masyarakat moden pada hari ini. Antaranya;
(1) - Nabi SAW bersabda;
"(Antara tanda-tanda kiamat adalah) akan terangkat ilmu dan berleluasalah kejahilan."(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Kejahilan mengenai ilmu agama dikalangan masyarakat amat ketara pada hari ini. Masjid serta kelas-kelas agama biasanya lengang berbanding stadium dan konsert rock. Sebagai contoh, keputusan PMR bagi tahun 1995 bagi kursus Fardhu Ain amat menyedihkan. 6779 pelajar gagal dalam mata pelajaran ini. 616 daripada mereka gagal dalam aspek mengucap dua kalimah syahadah, 1553 gagal dalam aspek rukun islam dan 1901 pula gagal dalam aspek rukun iman.
(2) - Nabi SAW bersabda;
"(Antara tanda-tanda kiamat adalah) perbuatan zina akan berleluasa." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Laporan oleh Inter Press Service bertarikh 19 Ogos 1998 menunjukkan, 2-14% daripada kemasukan kasar negara-negara di Asia Tenggara adalah daripada industri seks, berpandukan kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
(3) - Nabi SAW bersabda;
"(Antara tanda-tanda kiamat adalah) minuman arak akan berleluasa." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Di Amerika saja terdapat 10-15 juta penagih arak dan daripada jumlah itu 4.5 juta adalah daripada kalangan remaja. Jumlah kematian yang disebabkan oleh arak di Amerika adalah 100,000 orang setiap tahun.
(4) - Nabi SAW bersabda;
"(Antara tanda-tanda kiamat adalah) jumlah kaum lelaki akan berkurangan berbanding wanita sehingga mencapai nisbah 1 lelaki bagi 50 wanita." (Riwayat Bukhari).
Mengikut laporan bancian penduduk oleh US Bureau of Cencus pada bulan Oktober 1998, jumlah kaum wanita mengatasi kaum lelaki di kebanyakan negara di dunia bermula daripada umur 30 dan 35 tahun dan perbezaan ini semakin ketara dengan peningkatan umur. Lebih daripada itu, secara perbandingan, wanita didapati hidup lebih lama daripada kaum lelaki dan trend ini berlaku di seluruh dunia.
(5) - Nabi SAW bersabda;
“Apabila urusan (umat) diserahkan kepada mereka yang tidak layak, tunggulah kehancuran hari kiamat.”
(Riwayat Bukhari). Contoh yang paling baik adalah Mustafa Kamal Ataturk, pemimpin negara Turki selepas kejatuhan Empayar Othmaniah. Beliau melarang pemakaian pakaian Islam dan menggalakkan pemakaian ala barat. Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, beliau berjaya menghapuskan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Adiladha serta melarang orang Islam mengerjakan ibadah haji. Beliau juga tidak mengizinkan azan dilaungkan dalam bahasa Arab sebaliknya dalam bahasa Latin.
(6) - Nabi Saw bersabda;
“Kiamat tidak akan datang sehingga api (kebakaran) berlaku di bumi Hijaz sehingga menerangi leher-leher unta di Busra.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Busra adalah sebuah bandar di Syria yang terletak lebih kurang 80 batu ke selatan Damaskus. Dalam kitab Mazahirul Haq disebutkan kebakaran ini berlaku di Madinah pada tahun 650 Hijrah dan ia berterusan selama 3 hari. Cahayanya memang dapat dilihat dari Busra, Damaskus dan Yamamah.
(7) - Nabi SAW bersabda;
“(Hari kiamat tidak akan berlaku)…..sehingga satu kumpulan tentera dari (Kota) daripada kalangan mereka yang terbaik di atas muka bumi, akan menghadapi golongan (Rom)…..(Tentera Islam) akan memerangi mereka dan kemudian 1/3 daripada tentera Islam akan melarikan diri…..1/3 yang lain akan mati sebagai syuhada. 1/3 yang lain akan mendapat kemenangan. Mereka akan menguasai Konstantinople.” (Riwayat Muslim).
Kota Konstantinople berjaya dikuasai oleh orang Islam pada zaman kerajaan Othmaniah di bawah pimpinan Sultan Muhammad al-Fatih yang ketika itu baru berumur 24 tahun. Penaklukan ini berlaku pada tahun 753 hijrah (1453 Masihi). Teknologi yang digunakan oleh Sultan Muhammad al-Fatih boleh dianggap sebagai yang tercanggih didunia pada ketika itu. Baron Carra de Vaux dalam bukunya yang berkaitan dengan bigrafi Sultan Muhammad berpendapat, penaklukan kota Konstantinople oleh Sultan Muhammad tidak berlaku secara kebetulan kerana beliau sebenarnya membuat persiapan yang mantap sebelum bertindak menggunakan ilmu pengetahuan yang tinggi ketika itu. Pada waktu tu penggunaan meriam adalah suatu yang baru. Bom yang digunakannya pula adalah seberat 300 gram sebiji.
(8) - Nabi SAW bersabda;
“Demi Allah kiamat tidak akan berlaku sehingga binatang buas bercakap kepada manusia, hujung cemeti dan tali kasut seseorang bercakap kepadanya serta paha seseorang memberitahu kepadanya perbuatan yang dilakukan oleh keluarganya dibelakangnya.” (Riwayat Tirmizi).
Pada akhir zaman manusia akan bercakap dengan menggunakan alat komunikasi yang canggih dan dengan meledaknya teknologi komunikasi maklumat, ramalan ini menjadi kenyataan. Salah sebuah akhbar di Malaysia bertarikh 7 Jun 1996 melaporkan, sebuah sistem pengesan berasaskan satelit telah dicipta. Ia boleh digunakan, antaranya untuk mengintip suami atau isteri yang curang. Ia menggunakan rangkaian satelit berkonsepkan ‘Sistem Penentu Kedudukan Global’ (GPS) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
(9) - Nabi SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari;
“Tanda hari kiamat yang paling awal adalah api yang akan menghimpunkan manusia dari Timur ke Barat.”
Mengikut Ali Akbar dalam Israel and the Prophecies of the Holy Quran terbitan Seraj Publications di UK, ramalan ini sedikit sebanyak sudah menjadi kenyataan dengan berlakunya perang dunia pertama dan kedua yang melibatkan Negara-negara Timur dan Barat. Ini diikuti dengan penubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menghimpunkan wakil-wakil dari Timur dan Barat.
(10) - Nabi SAW bersabda;
“Kiamat tidak akan berlaku sehingga masa menjadi singkat, setahun menjadi seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu seperti sehari, sehari seperti sejam dan sejam seperti masa menyalakan api.” (Riwayat Tirmizi).
Masa akan terasa singkat jika kita sedang bergembira dan bersuka ria, justeru, hadith ini bermaksud manusia pada akhir zaman akan menghabiskan masa mereka dengan menikmati kelazatan dunia tanpa henti. Ramalan ini juga mungkin bermaksud, manusia akan menjadi begitu sibuk dengan dunia sehingga mereka tidak akan mempunyai masa untuk agama. Ia juga mungkin bermaksud, manusia tidak akan menghargai masa lantas akan membuang masa begitu saja. Semua kemungkinan itu sedang berlaku pada hari ini. Paulene Poparad dalam Chesterton Tribune bertarikh 9 Oktober 2001 menulis; ‘Masa sedang menjadi semakin singkat, namun masih ada masa untuk berkebun.’
(11) - Nabi SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Muslim;
“(Alamat hampir kiamat adalah) apabila seorang hamba melahirkan tuannya. Dan kamu akan melihat orang-orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, hidup miskin sebagai penggembala kambing duduk bermegah-megah dalam bangunan yang besar.”
Pada akhir zaman anak-anak daripada keturunan hamba sahaya akhirnya akan menjadi merdeka dan kaya raya jika dibandingkan dengan ibu-ibu mereka, mereka berkedudukan seperti tuan kepada ibu-ibu mereka. Contoh yang terbaik adalah golongan kulit hitam di Amerika. Suatu ketika dahulu mereka adalah golongan terhina yang ditindas oleh masyarakat kulit putih. Pada hari ini ramai daripada kalangan mereka sudah menjadi jutawan serta memiliki tempat tinggal yang besar yang bernilai jutaan dolar Amerika. Antara mereka adalah Michael Jordan, Michael Jackson, Oprah winfrey, Bill Cosby, Prince, Aretha Franklin, Whitney Houston, Spike Lee dan ramai lagi. Oprah Winfrey contohnya, memiliki harta bernilai lebih $900 juta seperti yang dilaporkan oleh cnn.com
(12) - Nabi SAW bersabda;
“Demi Allah, kehidupan di dunia ini tidak akan berakhir sehingga berlaku pembunuhan dalam keadaan si pembunuh tidak tahu mengapa dia membunuh dan yang terbunuh tidak tahu mengapa dia dibunuh.” Baginda disoal; “Mengapa ini berlaku?” Baginda menjawab; “Huru-hara. Yang membunuh dan yang terbunuh sama-sama masuk neraka.” (Riwayat Muslim).
Keadaan huru-hara ini sedang melanda dunia pada hari ini dengan berlakunya pembunuhan dan peperangan hampir setiap hari. Kebanyakan pembunuhan ini berlaku tanpa alasan yang hak dan ia dilakukan secara rambang. Dengan kejadian pembunuhan hampir setiap hari dan kelahiran ramai pembunuh bersiri pada hari ini, hadith ini sudah menjadi kenyataan. Antara pembunuh bersiri yang terkenal adalah Theodore Kaczynsi yang digelar sebagai The Unabomber. Dia sudah membunuh 3 orang dan mencederakan 29 yang lain di Amerika. Akhirnya dia dipenjarakan pada tahun 1998. Contoh yang kedua David Berkowitz yang lebih dikenali Son of Sam. Dia membunuh 6 orang dan mencederakan 7 orang di New York sebelum ditangkap pada tahun 1977. Contoh yang ketiga melibatkan dua bersaudara yang bernama Angelo Buono dan Kenneth Bianchi. Mereka, yang digelar sebagai Hillside Strangler, membunuh 10 orang wanita di Los Angeles pada tahun 1970-an.
(13) - Nabi SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh muslim;
“Hari kiamat tidak akan berlaku sehingga umat Islam memerangi orang-orang Yahudi dan mereka akan bersembunyi dibelakang batu dan pokok. Ketika itu batu dan pokok akan berkata; ‘Wahai hamba Allah, dibelakangku terdapat seorang Yahudi, bunuhlah dia,’ kecuali pokok Garqad kerana ia adalah pokok Yahudi.”
Dengan termeterainya Perjanjian Balfour, negara Israel diiktiraf oleh Barat sebagai negara yang berdaulat pada 14 Mei 1948. Antara isi Perjanjian Balfour mengikut draf terakhir yang dipersetujui pada 31 Oktober 1917 adalah;
“Kerajaan Britain menyokong penubuhan sebuah negara bagi orang-orang Yahudi di Palestin. Pihak Britain akan berusaha sedaya upaya memastikan tujuan ini tercapai. Adalah difahamkan, hak asasi golongan bukan Yahudi di palestin adalah terpelihara dan tidak boleh diganggu gugat oleh sesiapa pun.”
Sejak tahun 1948, rejim Israel telah menggunakan kezaliman dan kekerasan ke atas golongan Arab Palestin dan hal ini disahkan oleh Benny Morris dalam tulisannya yang bertajuk The Birth of the Pelestinian Refugee Problem. Kajian terkini menunjukkan lebih 70% daripada kanak-kanak Palestin menghidap penyakit kurang darah (anemia) dan lebih daripada 75% penduduk Palestin hidup dibawah paras kemiskinan. Kezaliman rejim Israel ini merangsang umat Islam Palestin bangun menentang rejim ini dan ianya berterusan hinggalah ke hari ini.
No comments:
Post a Comment