Zikrullah

Subhanallah... Alhamdulillah... La ilaha illallah... Allahu akbar... La haula wala quwwata illa billahil a'liyila'zim...

Wednesday, September 2, 2009

Alam Sekitar pada Era Dajal


Nabi SAW bersabda (sambungan daripada hadith yang berkaitan dengan pengalaman sahabat Tamim ad-Dari yang berlayar dengan rakan-rakan beliau dan terbabas di sebuah pulau. Selepas mereka bertemu makhluk hodoh yang memperkenalkan dirinya sebagai pengintip, mereka telah bertemu dengan makhluk berbadan besar yang memperkenalkan dirinya sebagai
Dajal). 
“… Dajal berkata; “Beritahu aku tentang pohon-pohon tamar di Baisan, adakah ia masih berbuah?” Kami berkata; “Ya”. Berkata Dajal; “Tidak lama lagi ia tidak akan berbuah”. Dajal bertanya lagi; “Bagaimana dengan tasik Tiberia, adakah masih dipenuhi air?” Kami menjawab; “Ya, ia masih dipenuhi air”. Dajal berkata; “Tidak lama lagi airnya akan kering”. Dajal terus bertanya; “Bagaimana dengan mata air di Zugara adakah airnya masih digunakan supaya mengairi tanaman?” Kami menjawab; “Ya airnya masih banyak dan masih digunakan supaya mengairi tanam-tanaman”. Dajal bertanya lagi; “Bagaimana dengan keadaan Nabi yang Ummi?” Kami menjawab; “Beliau telah berhijrah ke Yathrib....” (Riwayat Muslim)
Kenyataan yang paling ketara dalam hadith ini adalah keaadaan air di Tasik Tiberia. Pada hari ini Tasik Tiberia dikenali sebagai Laut Galilee dan ia terletak di negara Israel. Ia menjadi sumber air bersih yang amat penting bagi negara Israel. Pada zaman Dajal air tasik ini akan surut dan fenomena ini sebenarnya sedang menjadi kenyataan pada hari ini. Reuters bertarikh 14 Ogos 2001 memaparkan sebuah artikel yang bertajuk; ‘Kekeringan Air Laut Galilee di Israel Memerlukan Mukjizat untuk Pulih’. Mengikut artikel ini, air Laut Galilee sedang berada di paras yang terendah dalam sejarah iaitu pada paras 214.04 meter, lebih rendah daripada paras bahaya yang ditetapkan.
Berhubung dengan Baisan dan Zugara, mengikut kitab Misykatul Masabih Maulana Fazlul Karim, kedua-duanya adalah pekan yang terletak di Syria. Secara umumnya hadith ini menunjukkan era Dajal ada perkaitannya dengan krisis alam sekitar terutamanya yang berkaitan dengan air bersih dan kesuburan tanah.
Mengikut BBC News bertarikh 2 Jun 2000, Program Persekitaran Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan, 200 pakar-pakar sains dari 50 buah negara di dunia sudah mengenal pasti dua masalah besar yang bakal melanda dunia pada alaf ketiga iaitu, kekurangan air bersih dan kenaikan suhu dunia... Pada hari ini bagi setiap lima orang, seorang tidak memperolehi air minuman yang bersih.
Berdepan dengan isu ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan amaran berhubung krisis air yang sedang melanda dunia. Mengikut Environmental News Network bertarikh 19 Mac 1999, Program Persekitaran Bangsa-Bangsa Bersatu meramalkan, 30% daripada penduduk dunia akan mengalami kekurangan air bersih pada tahun 2050. Pada hari ini lebih 5 juta kematian yang berlaku di dunia berpunca daripada pengambilan air yang tidak bersih.
Lebih daripada itu, Ketua Pengarah Program Persekitaran Bangsa-Bangsa Bersatu, Klaus Toepfer, meramalkan peperangan pada masa hadapan mungkin berpunca daripada perebutan mendapatkan air bersih. Ramalan beliau ini dimuatkan dalam buletin Environmental Science and Technology isu 1 Januari 1999 yang diterbitkan oleh Persatuan Kimia Amerika.
Pada hari ini, sekurang-kurangnya dua puluh buah negara di dunia sedang menghadapi krisis kekurangan air bersih, mengikut laporan Human Development Report tahun 1998. Secara purata, kadar perolehan air menurun daripada 17,000 meter padu bagi setiap seorang (17,000 cubic metres per capita) pada tahun 1950 kepada hanya 7,000 setiap seorang pada hari ini. Laporan ini juga mengatakan, kualiti kesuburan 1/6 tanah di dunia, iaitu lebih kurang 2 bilion hektar, sedang menurun disebabkan oleh binatang ternakan serta amalan pertanian yang salah. Jelas sekali berdasarkan hadith dan keadaan semasa, kita sebenarnya sedang berada pada era Dajal.
WALLAHU A'LAM...



1 comment:

qistina said...

post mcm ni memang boleh buat orang insaf. khalas. good job. hope that it will reach out to those in real need ntuk bertaubat. insyaAllah.four thumbs-up! (campur tgn hannah,hihi) keep those articles coming!